Showing posts with label kuih tradisional. Show all posts
Showing posts with label kuih tradisional. Show all posts

Saturday, January 2, 2016

Ulat Bulu...Kuih Ulat Bulu

Assalamualaikum....dah malam baru dapat menaip entry untuk kuih sarapan pagi tadi. Ada yang dengar nama pun dah geli inikan pula dijadikan nama bagi kuih yang sedap ni. Kita pun geli geleman juga bila dengar ulat bulu...belum tengok yang hidupnya lagi...Tapi kuatkan hati nak juga buat kuih ni. Lebih buatkan hati nak buat sangat sebab Dik Lia sekarang ni sedang bercuti di rumah mertuanya di Macang, Dan kita pula terbanyang-bayang...terasa-rasa keenakan kuih ni bila pertama kali makan masa menginap di home stay di sana masa menghantar Dik Lia bertandang ke Macang.. Diusahakan juga buat intinya....pergi market pagi-pagi beli tepung pulut..sebab sangat yakin bukan susah sangat nak buat...macam buat kuih buah melaka je.....dan akhirnya memang menjadi....
Memang tak susah nak buat. Langkah pertama siapkan intinya dulu. Kita buat intinya dengan gunakan kacang hijau..direbus..tambah gula..dan sedikit tepung ..kacau hingga pekat..sejukkan. Malam -malam dah sediakan inti ni..paginya dah betul-betul sejuk..memudahkan kerja kita nanti nak dibentukkan bulat memanjang..Untuk sukatan..mmg tak de sukatan ..buatlah ikut banyak mana kita nak...agak2 je...

Macam ye je ulat bulu....jangan pandang macam itu ulat...pandang dengan fikirkan itu adalah kuih...hahaha

Bahan Utk Kulitnya;
Masih tak de sukatan...tapi bahannya sikit je dan senang nak dapat...Tepung pulut..sesudu tepung gandum...air pandan yang dicampur sikit garam..gaulkan semua hingga tidak melekat dijari.Ambil sikit leperkan dan letakkan intinya. bentuklah bulat memanjang/lonjong. Buat sampai habis. Letakkan atas plastik yang ditabur tepung untuk elakkan tepung ni melekat. dah siap rebus dalam air mendidih..bila timbul..masaklah tepung tu..sedia untuk diangkat..toskan.

kalau kita gunakan air daun pandan...semasa merebus ni harum sangat bau pandannya.. Dah siap ditoskan golekkan atas kelapa parut yang agak muda..ambil putihnya sahaja , jangan lupa gaulkan dengan sikit  garam halus.  ok dah siap.
Ada sesiapa nak cuba buat ke...tak perlu tunggu puasa baru nak buat kuih2 ni..bila-bila teringin boleh je buat kena rajin je sikit.
ok..selamat mencuba..kuih tradisional Kelantan yang dicuba buat oleh orang Perak.

Thursday, December 31, 2015

Apam Beras/Fatt Koh...Menyambut Tahun Baru 2016

Assalamualaikum...selamat pagi...Selamat Tahun Baru. Dah sarapan ke. Kita dari malam tadi dah buat persiapan untuk buat kuih apam ni...lama sangat tapai nasi ni dah tersimpan dalam peti ais...tiap kali nak buat ada je yang menghalang...buat kek tempahan le...tak sempat le...sebab kuih ni perlu dikukus pagi setelah diperam malamnya. Ada tu kelapa muda parut pulak tak de ...tak lengkap kalau makan kuih apam kalau tak de kelapa muda masin-masin ni...oklah pagi tadi dah jadi kuih apam beras ni...bukan sekadar jadi tapi memang puas hati sangat...dah macam-macam jenis kuih apam dicuba tapi yang ni juga yang  paling memikat jiwa. .
Kuih apam ni ..orang Cina kata Fatt Koh atau Huat Kuih...yang maksudnya kaya...mewah...tu sebab kalau ada apa-apa perayaan masyarakat Cina kuih Fatt Koh ni mesti ada...senyum je...ada tu dibuat dengan bermacam bentuk dan rupa..

Dah lama sangat juga rasanya tak letak resepi kat blog kesayangan ni...bukannya apa sebab kuih-kuih tu resepinya ambil dari blog kawan-kawan juga...satu lagi ...sebab kita tak mahir sangat dengan aplikasi baru bila setiap kali gajet baru ditukar...oklah hari ni dah pandai sikit...esok lusa tak tau lagi...
Bagi yang nak cuba;
1. Kena buat tapai nasi dulu
    11/2 cawan nasi sejuk
    1/2  biji ragi (besar sikit dari syiling 10 sen tu...tak lebih pulak saiz 20 sen)
     -- peram dua malam atau lebih pun tak pe...sampai jadi tapai bau sedap rasanya manis.

2. bahan lain.
    1 cawan gula pasir
    2 cawan  air
    3 cawan tepung beras (untuk yg ni kita guna cap gajah je - seeloknya cap teratai)
    1 cawan tapai nasi
    ---blend semua..sampai halus dan tapis..Simpan semalaman.
3. Paginya -- campurkan dengan 1 paket eno (warna biru), gaul rata ...dan bolehlah dimasukkan dalam bekas-bekas kecil dan kukus dalam 8 ke 10 minit.
wahhhh.....nak makan apam beras bukan senang rupanya..kena plan awal-awal...sebab kena buat tapai dulu...
oklah ...selamat mencuba.

Sunday, January 4, 2015

Bingka Pandan Tepung Gandum.

Assalamualaikum.....jom minum petang...lama tak masukkan cerita baru resepi baru...sibuk sesangat sepanjang November..dan December 2014...sibuk dengan tempahan, alhamdulillah apa pun sangat berharap tempahan menepati cita rasa..dan SAG mohom berbanyak maaf kalau ada terkurang dan sebagainya...Moga tahun 2015 ni rezeki bertambah baik.

Minggu ni memang tak de tempahan...sbb jadual asalnya nak Ke KL, tempahan terakhir hari tu pada hari Khamis 1.1.2015..hantar sebelum bergerak ke KL...dan pagi ni terasa lapang sangat, apa lagi mencari resepi mudah yg bahan-bahannya ada di dapur...bahannya kat semua dapur pun ada..buatnya pun tak susah. itu yang sambil-sambil masak tengahari pun siap..petang dah sejuk..elok sangat untuk minum petang.

Bingka/Bengkang tepung gandum pandan....tekstur lembut..manis sedang-sedang jer..memang sedap...dan SAG suka mencari bahagian tepi yang garing...warna hijau tu warna ori daun pandan ...tak tambah pewarna pun...dua helai dah cukup hijau..dan cukup harum...semerbak baunya..

Resepi??....terlebih dahulu nak ucapkan terima kasih pada penyumbang resepi asal....izinkan SAG sharekan di sini pulak,
Bahan;
2 cawan tepung gandum - diayak
1 cawan gula pasir
1 cawan air pandan (dari 2 helai daun pandan)
3 cawan santan.(1 cawan santan pekat, 2 cawan santan cair )
1 biji telur  (asalnya 3 biji)...mmg tak suka bau telur...bukan sebab telur mahal sekarang ni.
2 sudu besar butter ( guna Daisy je)
1/2 sudu teh garam
Cara:
1. Masukkan tepung dan gula dalam satu bekas
2. pukul sikit telur--buangkan tali pusatnya, Campukan dalam air pandan dan santan
3. Campuran santan, air pandan dan telur masukkan dalam tepung..kacau guna whisk  sampai gula larut dan tepung tak bergentel..masukkan garam.
4. Tapis dalam periuk dan kacau sekejap atas api.
5. Tuangkan dalam acuan 7in x 7in...dan bakar hingga masak
6. Sebelum atasnya kering..taburkan bijan.
    Lama juga membakarnya...kalau nak garing atasnya SAG guna api atas sekejap.
    Selamat mencuba...bahan mudah..buat pun senang

Tuesday, September 16, 2014

Lepat Pisang Warisan Bonda

Assalamualaikum....lepat pisang kuih minum petang kita hari ni...kebetulan jumpa pak cik menjual pisang tepi jalan masa balik kampung hari tu...jarang jumpa pisang masak ranum yang cukup tua dijual di pasar hari ni....selalu jumpa pisang masak tapi tak cukup tua...kalau dibuka kulitnya tengah pisang tu hitam...tak manis pun. ..Orang-orang kampung sekarang ni dah tak nak tanam pisang agaknya...pada hal harga pisang bukan murah...hari tu beli dua sikat pisang awak masak.. ada 24 biji harganya RM4.30....yang pada kita agak mahal..kalau dulu pisang awak ni ialah pisang yg paling murah harganya...

Nak buat lepat ni tadi sebenarnya tanya dulu kat adik Im...suka yg kukus atau yg dibuat lempeng pisang yg dibakar dalam kuali...adik Im pilih nak yang kukus....kita turutkan saja..cuti sekolah seboleh-bolehnya nak suruh dik Im makan banyak-banyak..ikut masa...pagi...tengahari...petang dan malam...nak makan apa yang teringin bagi tau...nanti dah balik asrama..makanan dan masakan dah tak sama macam maknya masak...

Berbalik pada pisang tadi..bila dah dapat pisang yg cukup tua..masak ranum...rasanya memang manis...bila dibuat kuih macam ni..tambah sikit je gula...warna pun cantik...tak lebam..dan perut pisang tu pun tak hitam...tak payah la nak letak resepi lepat pisang ni ye...semua orang pun tau buat agaknya...tapi tak pe lah...mungkin ada beza agaknya lepat pisang orang Perak dengan negeri lain...yang ketaranya..Lepat Pisang orang Perak ni ada kelapa parut agak muda yang digaul sikit garam..lemak masin gitu...
Bahan;
Mesti ada daun pisang..dilayur (6in x 9in)
Inti..kelapa parut agak muda digaul sikit garam...rasa masin-masin sikit
Pisang awak - 10 biji
gula sikit
Tepung gandum - anggaran 1 cawan
---pisang dilenyek halus..tambah gula dan gaul rata dengan tepung gandum...jangan keras atas lembek sangat
Cara;
Ambil dua sudu pisang tadi..leperkan atas daun pisang...
letak inti memanjang di tengah pisang tadi dan gulung kemas
lipas kedua-dua hujung daun pisang tadi
buat sampai habis...dan kukus..10 - 15 minit dah masak...
Sesekali buat lepat pisang ni...sedapnya.
Selamat mencuba.


Monday, September 15, 2014

Kuih Koci.... Manis..Lemak.. Masin

Assalamualaikum....ni cerita petang kelmarin, kuih minum petang pilihan dik Im....tak sangka pulak bila ditanya nak kuih apa..dik Im boleh teringin kuih koci...selera orang lama juga yg menarik hati...kita mmg suka buat kuih-kuih macam ni pun ..tak de masaalah..tepung pulut..kelapa..daun pisang semua ada....cumanya nak tambah tepung pulut hitam sikit..ada caranya macam mana kita sediakan...

Dah lama juga tak buat kuih koci..tapi kuih macam ni tak susah mana pun nak sediakan ..yang penting inti nya mesti sedap..kelapa muda sikit dan cukup manis..santan kat luar tu juga mesti cukup lemak masin nya...tak sedar habis tiga empat biji...

Yang jadi masaalah bila kuih-kuih macam ni tak de sukatan tertentu..ikut je banyak mana nak buat...Cara SAG;          

1. Sediakan inti kelapa manis.
    Cara;
     Masak gula merah/kabung campur sikit gula putih daun pandan yg disimpul dengan sikit air..biar larut dan tapis.
     (air jangan banyak sangat).Masukkan dalam kelapa parut tadi..masak hingga agak kering..campurkan juga 2 sudu tepung
    jagung - biar nampak kental sikit supaya mudah nak dibulat-bulatkan.
    Sejukkan dan bulat-bulatkan..ketepikan dulu..buat ikut berapa biji kuih yg dikehendaki..lebihan inti boleh simpan.
   
2. Kulitnya.
    Tepung pulut putih (ikut brp banyak yg dikehendaki)
     1/3 cawan beras pulut hitam ...basuh ..masukkan dalam blender dan kisar dengan sikit air..tapis airnya
     Gunakan air tepung beras  pulut hitam ni untuk gaulkan dengan tepung pulut tadi.
     (ni kes tak de tepung pulut hitam)- kita akan dapat warna yg sama jika kita guna tepung pulut hitam.
      Gaul/uli sampai tak melekat di jari
     Bulat-bulatkan besar sikit dari inti yg kita bulatkan awal tadi. Leperkan dan letak inti..bulatkan kembali...buat sampai
     habis. Panaskan air hingga mendidih dalam periuk  masukkan bebola tadi masak hingga timbul dan angkat.

3.Bahan salutnya.
   100 ml santan kotak
   1 cwn air
   2 sudu besar tepung beras
   1/2 sudu teh garam
-----masak semua bahan ni hingga pekat.
-----masukkan bebola pulut tadi  dan sudukan atas daun pisang..bolehlah dibungkus kemas...kukus sekejap...biar betul-betul sejuk dulu dapatkan rupa yg cantik...kalau tidak bahan salutnya akan nampak cair tapi ok je..rasa tetap sama.
Lain sikit dari kuih koci biasa...
Selamat mencuba untuk dapatkan kelainan. Terima kasih kepada penyumbang idea...tapi kita ubahsuaikan ikut kesesuaian sendiri.

Sunday, September 14, 2014

Lompang Warna Warni....

Assalamulaikum...selamat petang...buat apa petang tadi,..ni kes tak de kerja lepas buat kek untuk si bongsu  nak buat pulak kuih lompang ni..saja nak try...selalu buat warna hijau pandan atau warna gula merah..ni kita tukar warna warni...rasa tetap sama..cuma warna je beza.

Masih ada rasa pandan, wangi pandan walaupun warna berbeza......

Resepi macam biasa...dah pernah letak kat SAG...tak de masalah nak taip semula..senang sangat. Bahan pun mudah dan tak banyak mana..cukuplah buat minum petang dua tiga orang. Macam mana nak dapatkan wangi dan rasa pandan asli..kena ikut cara SAG.
Bahan..
(Setengah dari resepi asal - menghasilkan 20 biji kuih lompang)
1/2 cawan gula
1 cawan air
1 helai daun pandan
---masak sampai mendidih, sampai keluar aroma pandan

11/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung ubi
1 cawan air
1 sudu teh air kapur
----campur semua bahan, dan tuangkan air gula beserta daun pandan tadi (biar suam), kacau semua dan tapis.

Cara.
bahan yg ditapis ..bahagikan kpd berapa bahagian warna yg dikehendaki..masukkan dalam acuan kecil dan kukus api sederhana...dalam air kukusan juga masukkan beberapa helai daun pandan. SAG tak de masaalah daun pandan ni..sebab mmg banyak pokok pandan kat rumah..
kalau nak mudah titikkan setitik dua perisa pandan yang jernih..tapi jgn lebih..nanti rasanya tak berapa sedap.
bila masak sejukkan betul-betul sebelum di keluarkan dari acuan.
Makan ngan kelapa parut yg digaul dengan sikit garam.


Terima kasih penyumbang resepi asal.

Saturday, September 6, 2014

Kaswi Pandan....Resepi Azlita Aziz

Assalamualaikum...dah minum petang..lama dah menyimpan resepi dari Azlita ni...petang ni baru ada kesempatan..sebenarnya dah banyak resepi kaswi..ada macam-macam..cuma teringin pulak nak cuba yg ni.,lebih-lebih lagi bila tengok bahannya tak banyak..cuma secawan tepung je,

yang ni mmg warna pandan asli..tak tambah pewarna pun..

Cara yg sangat senang...cuma bg SAG boleh dikurangkan gulanya sikit..agak manis. Izinkan SAG turunkan resepi di sini untuk rujukan rakan lain yg teringin nak buat..
BAHAN;
2 cawan air pandan..terpulang pada daun pandan tu sendiri SAG guna 2 helai je..dah cukup hijau dan wangi.
1  cawan tepung gandum (SAG guna tepung ros)
1 cawan gula pasir (boleh kurangkan sikit bg yg tak suka manis)
1sb tepung ubi
1 sb tepung beras
1 sk air kapur.
------semua bahan ni diblender....tapis..dan boleh lah di kukus..
SAG mmg suka kukus dalam bekas kecik ni sbb cepat masak 10 minit dah masak...biarkan sejuk, bolehlah dikeluarkan.
makan ngan kelapa parut putih yg diletak sikit garam.
Selamat Mencuba.

Friday, August 29, 2014

Cara Berlauk...

Assalamualaikum..maaf sangat-sangat...lambat letak resepi kat SAG pasal kuih ni....ramai pulak yg jenguk blog SAG bila gambar ni di tayang kat fb...nak bagi tau juga...hari Sabtu pagi 30hb tu bukan saja buat kuih ni..kita buat juga talam keladi 2 loyang..krim puff 150 biji..selesai buat kuih terus hantar ...panas-panas lagi kuihnya...lepas tu terus kemas beg..kita ke Shah Alam..hantar Dik Lia dan 31hbnya pulak hadir majlis perkahwinan anak besan.

Balik dr Shah Alam ke Kelantan pulak...tengok pelajar yang berjaya mewakili Perak ke peringkat kebangsaan...alhamdulillah berjaya juga menggondol anugerah Lagu Terbaik Kebangsaan -- tahniah anak-anak dan guru-guru pembimbing...memang kerja tak habis-habis...Rabu malam sampai rumah..Khamis pagi kena hadir taklimat...Khamis jam 1.15 th kena bg taklimat pulak....sakitnya kepala...petang rehat jap..malam siapkan pulak kek coklat cheese 2 biji..ambil paginya...ingatkan Jumaat boleh rehat..dapat call pulak nak kek lapis pandan dua biji..buat juga sbb tak tergamak nak hampakan permintaan kawan-kawan...Sabtu hari ni ..alhamdulillah rehat panjang.

Panjang pulak membebel...tentu ada yg perasan ada dua bentuk kuih cara berlauk ni...yang atas tu dah cukup seratus biji...masih ada lebihan tepung SAG guna  pulak acuan cermai ni...nak tengok jadi cantik tak...tapi alhamdulillah cantik kejadiannya...cuma acuan cermai ni acuan tembaga..agak susah juga... lambat nak keluarkan kuih yg dah masak dari acuan. ..kalau buat sikit tak pe..

Ok...kita tengok resepi...resepi ambil dari blog kawan-kawan ..nak cepat pagi tu..tak teringat nak salin dari blog siapa...minta izin letak di sini yer...disebabkan buat dalam kuantiti yg besar jadi sukatannya dah digandakan...ini pun tak de catatan..tapi ingat je....
Bahan.
7 cawan tepung gandum
11/2 cawan santan pekat
7 cawan air
11/2 sudu teh garam
sikit pewarna kuning - warna lemon yellow
2 biji telur (saiz kecik)
----semua bahan ni diblender dan tapis.

Untuk inti
1 paket daging cincang
2 biji bawang besar didadu
untuk tumis
bawang merah
bawang putih
halia
daun kari
4 sekawan.
rempah kari daging
nak bagi tau juga...kita tak de sukatan khas...main agak-agak je.../maaf ye
tumis macam biasa...macam kita buat kari tu..masak sampai kering dan rasa garamnya.
sejukkan inti..dan boleh lah buat macam biasa..kuih cara.
Bahan hiasan;
bawang goreng
daun sop..daun bawang, cili merah.
Cara;
panaskan acuan yang telah disapu sikit minyak, tuangkan adunan tepung jangan penuh sangat, masukkan inti, dan tabur bahan hiasan..tutup acuan dengan tutup periuk..api  kecik je...boleh diangkat bila betul masak...
Selamat mencuba.


Saturday, August 23, 2014

Kasui Gandum....lembut meliut-liut

Assalamualaikum...selamat pagi...memang tak de mood pagi ni...pagi-pagi dah menung ..renung luar rumah...ingat Aariz berholiday nun kat Langkawi...ingat Afif  kat Melaka...intai-intai fb nampak pulak ada member tayang gambar ikut cruise Ustaz Kazim..ingat pulak Angah...nak ke Penang ..Langkawi n Phuket....apa-apa pun selamat berholiday semua...semoga selamat pergi dan kembali.

Bagi kita yang cuti kat rumah ni....tak de lain ingat nak buat sarapan je...ingat nak buat kuih yang senang-senang tak remeh temeh...tu yg jadi kuih kaswi ni...jadi le...tapi pagi ni mmg terasa lapang sangat ..kalau selalu tu tuang je dalam loyang ...kukus dan tunggu masak, tapi pagi ni boleh letak dalam acuan kecik-kecik lagi...sebenarnya buat macam ni lebih mudah....masak pun cepat...tak risau lembek tengah loyang.

Ni sebenarnya kuih-kuih ulangan..maknanya resepinya dah pernah letak kat SAG...kalau yg berhajat nak buat cari ye..atau google je  Kasui Tepung Gandum.Memang sedap.
Tak sampai hati pulak....ok kita taipkan resepinya...
Bahan;
3 cwn air
3/4 cwn gula merah (sukatan asal 1 cwn)

3/4 cwn gula pasir (sukatan asal 1 cwn)
1 helai daun pandan
Masak sampai mendidih 
2 cwn tepung gandum    
1/2 cwn tepung ubi
sikit air kapur
2 cwn air
Cara; dua cwn air tuang dalam tepung-tepung tadi kacau rata, masukkan air gula panas dan kacau ..tapis..bolehlah dikukus..
Tunggu betul-betul sejuk baru dipotong...sedap makan ngan kelapa parut putih dan muda sikit.

Wednesday, May 14, 2014

Buah Melaka Gula Kabung

Assalamualaikum....juadah berbuka Isnin lepas...walaupun mood tak elok petang tu sbb kereta kena sondol dari belakang..tapi alhamdulillah buah melaka ni tetap jadi...

Rasa tak lengkap berbuka kalau tak de kuih-kuih manis ni...gagahkan diri buat juga...tapi sebenarnya tak susah mana pun nak buat nya...

Friday, May 9, 2014

Lapis Nyonya dan Pengat Nangka

Salam semua....Lapis Nyonya antara kuih talam terawal yg dipelajari....tahun 90an..kalau kat Ipoh ni, kat mana lagi kalau bukan kat Wah Seng...lapis ni memang sedap...tak sama dengan kuih lapis yang dipelajari selepas itu..Yang mengajarnya pun rasanya bukan chef..tapi tauke gerai kuih-kuih nyonya je...

Sempat dibuat untuk juadah berbuka puasa 1 Rejab yang lalu....kebetulan ! Rejab tu cuti hari Ahad..kita doublekan sukatannya...dapatkan diberi pada jiran-jiran keliling rumah ni untuk berbuka..
Nangka tu pulak pemberian tamu yg berkunjung...meriahlah berbuka hari pertama Rejab tu,,..Alhamdulillah.

Monday, March 17, 2014

Bahulu Cermai Bahulu Ikan Tradisional

Assalamualaikum semua....pagi,   ni di rumah anak kat Shah Alam...sementara nak memulakan pagi ni....ambik masa sikit mengupdate SAG...gambar lama yg belum dicatatkan  ceritanya...Bahulu Cermai...

Ahad minggu lepas buat bahulu ni...sebabnya dah terbau-bau kuih bahulu , Sabtu petang tu ke Mydin Mall..selalunya disambut dengan harum bau bahulu tapi dah lama dah tempat bahulu depan Mydin tu  tak de...teringin le pulak nak makan bahulu panas...

Ambik keputusan buat sendiri je la...tanya mak cik google...semua bahan dan acuan ada. Sebenarnya masa bonda sihat dulu..kuih bahulu ni kita ramai-ramai buat sendiri...guna api arang campur sabut...sampai pedih mata......kat dapur jangan cakap penuh habuk hitam ..debu dari sabut yg beterbangan bila setiap kali adunan dibakar apinya kena kipas...tapi tu la nostalgia buat bahulu guna api sabut....walaupun susah buatnya tapi sekali buat satu pasu telur dan gulanya dienjut...tak de mixer yang tolong...semuanya guna tenaga tangan....kita la orang kuatnya dan bonda selalunya tukang jaga kepekatan adunan sebab tepung letak sikit-sikit dalam adunan telur.......kuihnya menjadi cantik dan sedap sangat...memang teringin nak rasa bahulu yg dibakar api sabut ni...sekarang ni semua senang..telur dan gula putar je guna kelajuan maximum..tepung campur sekali semua...gaul rata dan dah boleh bakar...guna oven je...senang  sangat...

Senang macam mana pun cara buatannya, tapi kalau tak dicuba..tak menjadi juga.....kepada yang nak cuba kuih tradisional ni ..nanti SAG letakkan resepinya...sekarang tak perlu tunggu hari raya nak buat bahulu..bila-bila pun boleh...bahan pun mudah je...dan nak buat pun memang senang...hasilnya nak makan sendiri tu boleh laa. Cumanya bonda kata kuih bahulu ni tak ringan..katanya lagi tepung, gula perlu dijemur sampai kering ..telurnya kena telur yang segar....oklah kita semak resepi,
Bahan
5 biji telur (A atau AA dan pastikan telur baru/segar)
200 gm gula kasar - dijemur
putar dua bahan ni dengan kelajuan maximum hingga kembang dan likat
200 gm tepung gandum - dijemur
campurkan tepung ke adunan telur yang dah kembang tadi - kaup balikkan saja, tapi biar rata.
Acuan dipanaskan dahulu dan disapu sikit minyak...bila dah panas, masukkan adunan dan masukkan dalam oven....bakar hingga kekuningan....bila dah cantik kuningnya angkat...ermm sedapnya makan masa suam-suam panas. Selamat mencuba.