Thursday, June 16, 2016

Bingka/Bengkang/Kuih Bakar Durian - Ringkas dan Cepat


Alhamdulillah satu lagi juadah berbuka berasaskan durian...selagi ada durian..kita buat la kuih yg guna durian. Semalam Ramadhan 11..sedapnya berbuka dengan bingka ni bersama teh O nipis kurang manis...sekejap je buatnya dah siap ..boleh makan time berbuka...janji kena cekap mengurus masa

Beria susun kuih dalam bekas nak ambik gambar...masih ada masa

Nipis je kejadian bingka ni...saja buat sikit sbb bukan ramai nak makan pun..kalau buat macam ni ...sebenarnya kuih cepat masak...cepat sejuk...nilah rahsianya...ok..bahannya..

Sumber: Azie Kitchen
Bahan:
200 gm isi durian
350 gm santan sederhana pekat
175 gm tepung gandum
175 gm gula (boleh kurangkan sikit kalau durian tu manis)
1 sb tepung beras
1sb mentega cair
garam sikit
pewarna kuning telur sikit
1 biji telur (resepi asal 2) -

Cara:
campurkan semua bahan dan blend..tuang dalam acuan 7 x 7 in beralas dengan aluminium foil
tujuan supaya senang nak keluarkan dari acuan nanti..
bakar dalam 40 minit oven 180 ke 200 C
Dah masak angkat/keluarkan dari acuan dengan aluminium foil sekali...letakkan bawah kipas angin..sekejap dah sejuk.

Siap untuk dihidang sebagai juadah berbuka...Terima kasih penyumbang resepi.

Wednesday, June 15, 2016

Kuih Talam Durian Segera


Assalamualaikum...Ramadhan 10...alhamdulillah tanpa disangka semalam terjadi pulak Kuih Talam Durian tanpa dirancang dan tak pernah ingat pun nak buat kuih ni....balik sekolah bibik tanya 'durian nak buat apa' secara spontan teringat kuih talam...secara spontan juga cari resepi..godek-godek buku lama dan jumpa....tapi bila disemak dengan blog masak-masak terkenal ni rupanya resepinya sama je  :( tak pe la kita kongsi2

Terus pada resepi ya...dah tak sempat;
Bahan bawah/kuning
1 cwn tepung beras
2 sb tepung kastad
---ayak terus masuk dalam blender
1 cwn isi durian
1/2 cwn gula
2 cwn santan cair
sikit warna kuning
-----semua ni diblend, kacau sekejap biar naik wap
masukkan dalam loyang saiz 8 in bulat berlapik plastik...sblm buat tu panaskan kukusan..kukus dalam 20 minit

Sementara tunggu masak buat lapisan atas
1 cwn tepung beras
3 sb tepung jagung
3 cawan santan pekat
1 steh garam
----gaul semua dan tapis...kacau sekejap hingga naik wap...bila lapisan kuning dah masak , tuangkan lapisan atas ni..kukus lagi 20 minit..

Jangan lupa tutup loyang dgn aluminiium foil
dah masak dan nak cepat..rendam dalam air ais..ketul ais letak keliling loyang yg diredam tadi...in sya allah cepat sejuk dan masih boleh makan masa berbuka.

Sedap...lembut harum bau durian...potong pun tak cantik nak cepat.

Tuesday, June 14, 2016

Roti Jala Kuah Durian


Alhamdulillah...sekejap je dah Ramadhan 9, alhamdulillah juga   masih diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah di bulan yang mulia ini...juga diberi kekuatan untuk meneruskan tugas di pejabat dan juga di rumah...tahun lepas ramadhan 1436 tak ada satu post pun pasal juadah berbuka...tak pe la..ada banyak kekangan tahun lepas..
Berbalik cerita hari ni....juadah roti jala kuah durian...sebenarnya nak menghabiskan stok durian dalam peti ais..nak mengosongkan peti ais...nanti hari raya macam-macam nak sumbat peti ais tu...

Dah sampai rumah dekat jam lima...apa lagi yang boleh buat...hanya memikirkan kuih-kuih senang je..dan fikirkan bahan-bahan yang sedia ada di dapur...nak ke pasar Ramadhan??? setakat hari ni belum terfikir nak ke sana lagi...
nak resepi roti jala?? tadi gunakan 11/2 cawan teping gandum je...
Bahan
11/2 cwn tepung gandum
11/2 cwn air (tadi ada lebih santan buat kari --kita masukkan je dalam sukatan kuih ni)
1 sudu makan minyak masak
sikit garam
---semuanya digaul rata hingga tak berketul..tapis dan masukkan dalam bekas corong roti jala..boleh lah menjala..atas kuali
non stick ...tebar sampai habis adunan..
digulung setiap kali kuih masak - jangan tunggu adunan habis.

Kuahnya - hari ni ada durian tu yg buat kuah durian
kalau tak de ..boleh je tukar pada kari..dapppnya.

Bubur Kacang Durian dan Cucur Udang Kuah Kacang


Ramadhan 8.....teringin pulak nak makn bubur kacang durian, Sebabnya hari tu jiran beri bubur kacamg   durian, tapi tak puas makan dan kebetulan ada lebihan durian anak-anak beli masa berbuka hari Ahad tu....buat sendiri makan dengan bonda...mmg sedap memenuhi cita rasa sendiri..Cara senang nak buat..rebus kacang hingga empuk..masak dalam rice cooker je..bila dah kembang masukkan gula n sikit garam...sementara tu masak santan dan durian (suka hati nak letak banyak mana), masak sehingga mendidih dan sentiasa dikacau..bila dah mendidih masukkan kacang yg dah empuk tadi..kacau sekejap. rasa manis masinnya dan tutup api..n tunggu je masa berbuka..

Satu lagi ..buat juga sikit cucur udang...yang ni bibik pulak tiba-tiba teringin....buat la bibik...barang-barang semua ada..dan serius cakap..bibik ni dah pandai mengadun ..cara dan rasanya sebijik macam kita buat...dan masakan bibik juga dah diterima semua anak menantu...

Sebenarnya bibik ni dah pandai juga merancang...bila ada tauge kucai untuk buat bihun ke ..mee ke..atau nak buat sayur..mesti diketepikan sikit untuk buat cucur udang...dan kalau hari tak puasa..balik kerja mesti ada kuih....paling tidak pun mesti ada cucur udang ni...

Sunday, June 12, 2016

Sagu Gula Melaka


Alhamdulillah...satu lagi juadah berbuka Ramadhan 6...pemanis mulut ..juga yang senang-senang nak buat Sagu Gula Melaka

Resepi dah pernah kongsi dalam SAG...kena cari..

Dah siap...memang sedap.. sejuk je..manis lemak masin...

Pau Sambal Bilis...dapnya/ Pau Malaysia


Alhamdulillah...Ramadhan 6...memenuhi selera kak Ngah yang nak Pau Sambal...pantang tengok orang post kak fb..semua nak..nasib baik kuih senang-senang je..buat tak susah mana pun...

TAk de sukatan yang tepat...cuma agk-agak je...yang penting uli tu biar lama..lembut dan licin keadaanya..kemudian biarkan naik dua kali ganda..lepas tu boleh mula bulat-bulatkan doh ni.....
Sebagai panduan boleh ikut resepi ni; ni sebab nak buat banyak (dapat 25 biji)

Sediakan sambal ikan bilis atau sambal sardin
hirisan timun/tomato
600 gm tepung gandum
2 sb susu tepung
1/2 paket yis - lebihkan sikit pun tak pe
2 sudu besar (matrik) gula
1 sb butter - lebih sikit pun boleh
air suam - jangan panas sangat...rendam yis dan gula
Cara
1. masukkan tepung dalam mangkuk adunan, masukkan susu tepung tuangkan yis yg dah kembang tadi..
2. masukkan air sikit-sikit sampai boleh uli..dan masukkan butter 1 sudu besar...uli sampai licin
3. rehatkan doh sampaikan naik dua kali ganda
4. bahagikan doh  ikut bilangan yg dikehendaki..bulat-bulatkan dan rehatkan lagi
5. bila dah kembang..bolehlah digoreng..api perlahan.
6. Sejukkan dan bolehlah dihiris jangan putus...masukkan hirisan timun dan sambal




Sedia untuk dinikmati...minum ngan Teh O ..nipis kurang manis. Suka bila Dik Im ada kat rumah :)

Friday, June 10, 2016

Kuih Jongkong Tradisional Perak


Alhamdulillah...Ramadhan 5...daun pisang banyak lagi...memikir nak buat apa..tak nak membazir daun pisang kelmarin, kuihnya pun nak guna bahan yg sedia ada di dapur je... sbb bukan rajin sangat nak pergi kedai beli barang...tapi bila puasa ni teringat kuih orang lama juga...sbb nak makan berbuka pun kita je..ngan bonda dan bibik...dik Im pun belum balik lagi.

Dah siap bungkus...dapat tak banyak tujuh biji je...cukup la (dalam gambar 6 je)

dah siap kukus..masih cantik..kuahnya tak keluar pun..baunya harum wangi..bibik kata 'sedapnya bau'..nak buat pun senang jer..ikut sukatan sendiri;
bahan
1 cawan tepung beras
3 cawan santan cair + air daun pandan (semua sekali 3 cawan)
1 sudu besar gula (tak letak pun tak pe..ganti dgn sikit garam)
----gaul..tapis dan kacau atas api sederhana sampai pekat..tidak berketul dan licin-- ketepikan

1/2 ketul gula Melaka yg panjng tu..diracik halus

3/4 cawan santan pekat
11/2 sb tepung jagung
1st garam

7 helai daun daun pisang
Cara:
Aturkan daun pisang tadi 7 keping, bahagi sama banyak aduan hijau, letak gula melaka yg diracik halus...lipat separuh dulu..macam buat tapai..masukkan santan..kemaskan lipatan dan kelipkan.
Buat sampai habis..kukus 10- 15 minit.. tunggu sejuk..siap utk dimakan.
Tu diaaaa....sedapnya...siap..kuahnya banyak..lemak manis harum wangi. Selamat Berbuka.

Thursday, June 9, 2016

Tepung Bungkus/Anak Dara Dua Sebilik


Alhamdulillah dah Ramadhan 4...Tepung Bungkus petang ni, Tak pernah terfikir nak buat kuih tradisional ni cumanya petang kelmari anak jiran tebang pokok pisang...sayang tengok banyak daun pisang cantik-cantik dilonggok kat tepi pagar..kita minta tiga pelepah...dan tiba-tiba je teringat Tepung Bungkus...padahal tak pernah buat pun. Habis mesyuarat tengahari balik ke sekolah...sambil-sambil buat kerja sempat juga  intai-intai resepi kat blog masak-masak terhebat ...susah juga nak pilih, ada macam-macam sukatan, dan yg ni kita ubah suai je...sampai la dapat tekstur yg dikehendaki..

Rupanya tak cantik..tapi yang pasti rasa sedap.. manis...lemak masin.. kena pulak dengan aroma daun pisang tu...Tak boleh nak cerita panjang..kita tengok bahan dan cara nak buat;
Bahan;
Inti kelapa manis - yang ni mmg dah buat awal, satu ramadhan dah buat
daun pisang yg siap dilayur 15 keping agak lebar.
1 cwn tepung pulut
sikit garam
-- gaul tepung pulut, jadikan doh yg tak melekat di jari, bulat2kan inti kelapa dan salut dengan doh tepung pulut dan ketepikan
Utk dadih
150 gm tepung beras
2 cawan santan pekat
21/4 cawan air
1 st garam
----campurkan semua bahan, tapis dan masak dengan api sederhana hingga pekat dan licin - biar sejuk sikit
Cara bungkus;
1. Ambil dua biji inti tadi masukkan dalam dadih, gaulkan..dan sudukan atas daun pisang tadi, le
bihkan dadih tu..gulung kemas-kemas, lipat di kedua hujung daun pisang dan atur dalam kukusan.
2. Buat hingga habis.
3. Kukus dengan api sederhana...10 - 15 minit, sejukkan betul-betul sebelum dihidangkan,
Catatan; kalau elok lemak in sya allah cantik licin kuihnya.

Wednesday, June 8, 2016

Lempeng Pisang Berangan


Alhamdulillah...Ramadhan 3,...tak membazir pisang berangan yang tak habis dimakan...masa beli dua hari lepas pun memang dah agak masak sangat...dan puasa juga pisang ni tak laku dimakan...so jadi lempeng le jawabnya.

Masa tengah bakar...sedapnya bau..bau pisang bau daun pisang yg garing tu yg memikat selera...

Selalunya kita suka makan kuih-kuih dulu sebelum makan nasi...apa kuih pun tak pe..janji ada kawan dengan teh O nipis kurang manis...tak payah le resepi...semua orang pun tau buat lempeng pisang...
ada pisang, daun pisang, kelapa parut bergaram..tepung gandum dah boleh buat lempeng pisanga :)

Tuesday, June 7, 2016

Limas/Tepung Pelita In Cup


Assalamualaikum....Ramadhan 2..Limas/Tepung Pelita..in jelly cup.  Mood tak de nak menaip panjang selagi kerja sekolah tak siap :(
Just nak bagi tau kuih orang lama ni mmg sedap..cumanya dulu-dulu tak de sukatan tepat untuk dibuat rujukan...dan yang kita buat ni juga masih kekalkan penggunaan tepung gandum..sebab banyak juga resepi tepung pelita ni dah gunakan tepung beras dan tepung jagung.

Ambik gambar pun ala kadar je...sebagai kenangan yang kuih ni pernah dibuat. Jom kita semak resepi;
terima kasih pd penyumbang resepi asal ambil di fb je..tapi cara kita dah ubah sikit,
bahan;
Lapis bawah;
3 cwn santan cair
1 cwn air pandan pekat (kalau kurang hijau tambah pewarna)
1 cwn tepung gandum
2 sudu besar gula

Lapis atas;
3 cwn santan pekat
1 cwn air
1 cwn tepung gandum
1 sudu teh garam

Cara;
1..Sediakan cup kecil ...dan masukkan 1 sudu besar gula atau ikut suka masing-masing nak manis mana. ketepikan.
panaskan kukusan.
2. campur semua bahagian lapis atas..tapis dan yang ni kacau sekejap atas api bg pekat sikiiiiittttt je/naik wap
3. masukkan dalam cup kecil yg dah ada gula tadi, kukus dgn api sederhana hingga masak.
4. Sementara tu buat utk lapisan bawah/putih...cara yg sama (no. 2)
5. Bila lapisan hijau dah masak masukkan pula lapisan atas dan kukus sekejap lagi 8 - 10 minit.
    dah siapppp...sejukan..

satu adunan tadi dapat 16 cup...cukuplah untuk berbuka..dengan bonda, si bongsu dan bibik...Tak hijau sangat sebab guna pandan ori..Tak perlu lagi cari daun pisang, tapi kalau ada daun pisang ..kotak daun pisang masih jadi pilihan..

Monday, June 6, 2016

Bubur Som-Som Pandan


Lamanya tak bersiaran...puasa tahun lepas bibik balik kampung...tak de sapa nak tolong basuh pinggan n periuk belanga...tu yang stop buat tayangan....tapi tahun ni Alhamdulillah...dan hari ni sempurna dah satu ramadhan 1437, letih juga balik kerja nak siapkan juadah berbuka, dalam minda hanya memikirkan kuih-kuih senang dibuat dan yg pasti rasa sedap ..

Sesampai di rumah sempat lagi lelapkan mata..bangun tidur bonda dah bersuara...'tak de apa kuih-kuih manis' iii said don't worry...sekejappp je saya buatkan kuih.. Secepat kilat ambik daun pandan dalam hujan..blend ..ayak tepung campur santan ..tapis dan kacau...tak sampai sepuluh minit siappppp

masih ada tapinya.....nak buat kerja cepat-cepat ni kena sedia dari awal...misalnya air gula dah siap dimasak kelmarin lagi...masak je banyak-banyak simpan elok-elok dalam peti ais..nak guna senang...macam tu juga kelapa...kat rumah ni kalau guna santan kotak...dema ni tau je...dan tentu sekali komen tak sedap ;( , so kita parut banyak juga simpan di tempat sejuk beku nak guna ..tuang air panas dan blend...santannya lebih banyak dan fresh...
Untuk resepi...dah pernah ada dlm blog kesayangan ni..tapi tak pe kita taipkan sekali lagi ..sebab tak payah nak merujuk mana-mana...masih ingat;
Bahan;
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung beras
400 ml air daun pandan
500 ml santan agak pekat
1 sudu teh garam
Air gula merah - kita guna gula kabung
Cara;
gaul semua dan tapis masukkan dalam periuk ..kacau hingga berkilat/ mendidih dan nak cepat lagi...basuh acuan masukkan dalam peti ais..sejukkan acuan..tuangkan adunan yg telah dimasak tadi...nak lagi cepat rendam acuan yg telah diisi adunan tersebut dalam air sejuk/air dari peti ais...lima minit dah sejuk dah boleh keluarkan dari acuan..
nak makan hanya tuangkan air gula tadi...
Alhamdulillah sempurna berbuka ada pemanis mulut kuih orang lama ni...kredit pada dik im tolong ambik gambar ;)

Saturday, February 13, 2016

Roti Bantal...Lembut ..Gebu..


Assalamualaikum....sekali-sekali je dapat menaip kat blog ni...tapi hari ni rasa nak kongsi sangat buat roti senang ni...mmg best lembut..gebu..sampai pagi ni pun lembut lagi.. pada hal guna tepung cap sauh je...bahan pun sangat simple..cumanya satu nak bagi tau.. jangan tambah apa-apa walau pun adunan nampak lembek...dan satu lagi kenalah sabar..macam yg kita buat ni...dah siap adun ..uli...letak dalam tin roti ni..tutup dengan tuala kecik lembab...lepas tu kita pergi pasar...kat pasar pulak tu sempat sembang lagi...balik rumah bekejar ke dapo..tu dia...adunan roti naik...sukanya kita...kat pasar tu macam dah lupa pasal roti ni...hahaha

Tergaring kepala roti ni...ni pun sebab sembang...sembang ngan kak Ngah..entah apalah sembang semalam..hahaha..

Satu adunan tu kita bahagi tiga sama berat...satu bahagian diuli..dinipiskan..sebelum gulung..kita ayakkan sikit koko powder dan gulung... tu la hasilnya..saja suka-suka je buat macam tu...letak dihujung tin roti tu...tujuan nak ambik gambar je...rujuk gambar 1.

Memang puas hati sangat buat roti ni...gebu.. lembut...yang ni yang dua bahagian lagi tu. diuli tak perlu kuat sangat pun..ingat ye..adunan tadi agak lembut..tempat meletak adunan tu taburkan sikit tepung...bulatkan...leperkan..gulung..buat lagi sekali...macam buat karipap pusing tu...masukkan dalan tin roti...rehatkan sampai dua kali ganda...dah naik tu..bakar dalam oven yg dipanaskan terlebih dahulu...kita guna 200F..bakar sampai nampak kekuningan kepala roti tu..

Dah masak ...tak sabar nak potong..nk rasa...sebenarnya ni la sebab buat roti..sebab ada rendang anak mami yg makan dengan pulut kuning hari tu...roti pun sedap makan dengan rendang berempah ni...dan kita mmg suka makan roti dengan kari ke..dengan sambal tumis ke.....makan dengan sapuan manis-manis pun suka juga....
Wahhh....dapat menaip panjang pulak ceritanya....
ok....adunan simple roti bantal ni...resepi asal dari Majalah Saji Julai 2009..dulu-dulu Majalah ni wajib beli setiap bulan..tersimpan baik sampai hari ini..(cerita lagi....)ok lah..semak resepi...
360 gm tepung (hanya tepung cap sauh je ada---- kita guna jelah)
54 gm gula kastor
4 gm yis
1/2 sudu teh double action baking powder (kita tambah)
1/2 sudu teh bread softener --agak2 jer
36 gm telur...kita ikut je sukatan tu
200 gm air ..
35 gm shorterning ..
Cara
1. campur semua bahan kecuali shortenig...dalam mesin pengadun... uli hingga membentuk doh
2. masukkan shortening..uli lagi...lama juga.. hingga doh licin
3. rehatkan 10 minit
4. keluarkan dari mangkok adunan ..bahagi tiga bahagian
5.bulatkan..leperkan...gulung...buat sekali lagi...akhirnya gulung dan masukkan dalam tin pembakar roti
6. rehatkan hingga adunan naik dua kali ganda
7. bakar dalam oven yg telah dipanaskan....

Selamat mencuba.
.


Saturday, January 2, 2016

Hummingbird...Kek Birthday Mama

Assalamualaikum....selamat pagi. Kelmarin meraikan birthday mama dengan kek Humming Bird ni...special sangat kata dema...tapi memang sedap. Sebenarnya rasa bersalah pulak bila pagi-pagi dah wish birthday mama dengan hantar gambar kek je.  Mama tanya "tak de kek betoii ke"...terus terkedu sekejap...fikir kek apa nak buat...teringat pula kata Linda.."la ni tak lengkap buat kuih berasaskan pisang kalau tak dak kek burung ni...."ok lah...tapi pisang mmg tak de kat rumah , beli pisang dulu.
Cari resepi...dan rujukan paling senang Azlita Masam Manis...terima kasih Azlita...dan Alhamdulillah semua bahan ada..lebih bahan buat kek karet dulu. bahan baru yang dibeli hanya pisang dan cheese je.
Memang ikut sebiji sebiji macam tunjuk ajar Azlita...alhamdulillah menjadi cantik...cuma kacang pecan tu tak de..jadi kita letak 100gm walnut. 

cara buatnya senang...bakar pun senang...kalau sape buat rasanya mesti jadilahh...senangnya cakap ye...

Dah siap nak hantar ke rumah mama     Tapi finishingnya tak sama la macam sentuhan Azlita Masam Manis tu..jauh panggang dari api...kita buat cara kita..cuma karemal tu tak jadi ...macam cair pulak..masih boleh dibaiki lagi in sya Allah.

Tak sabar-sabar nak suruh mama potong...nak tengok hasil dalam tu...Waaaa puas hati betolll..

Rasanya...memang sedap...tak pula rasa kek pisang walaupun bahan utamanya pisang 400 gm. kena pula dengan krim cheese lagi sedap...
Resepi - minta izin dari Azlita nak kongsi pula di sini.(Tk Azlita)
100 gm walnut - panggang dan cincang kasar (walnut je ada-- kalau ada pecan pun boleh)
390 gm tepung gandum*
1 sudu teh baking soda*
1/2 sudu teh garam halus*
1 sudu teh serbuk cinamon*
* campur dan ayak - letak tepi
227 gm nanas dlm tin - potong dadu kecik2 (tak perlu perah airnya)
400 gm pisang yg betul2 masak - dilecek halus
3 biji telur A*
180 gm minyak jagung*
1 sudu teh vanila*
*pukul /gaul guna whisk je -- sampai rata campurkan dengan
300 gm gula caster
-----lepas tu campur lah nanas, pisang, tepung yg ayak tadi. dan kekacang...gaul rata, Bakar dalam tin bulat 8" dua bekas.
bakar dalam 40 minit. Sejukkan dan belah dua untuk dapatkan 4 keping.
Utk Cream Cheese
300 gm cream cheese
120 gm gula ising - dua bahan ni putar hingga gebu dan tambah
60 gm butter dan 2 sudu teh lemon paste putar lagi hingga gebu dan kembang.
Nampak macam tak cukup nak salut kek ni..jadi kita tambah dengan 1 cawan whipping cream yg telag dipukul kembang.
gaul perlahan dengan bahan cream cheese tadi hingga rata. Bolehlah mula decorate kek tu..ikutlah cira rasa masing-masing..
Buat karemel masih tak berapa jadi...kena study dulu baru boleh kongsi.
ok...selamat mencuba..kalau beli sangat mahal ni...kita jimat-jimat mari buat sendiri.




Ulat Bulu...Kuih Ulat Bulu

Assalamualaikum....dah malam baru dapat menaip entry untuk kuih sarapan pagi tadi. Ada yang dengar nama pun dah geli inikan pula dijadikan nama bagi kuih yang sedap ni. Kita pun geli geleman juga bila dengar ulat bulu...belum tengok yang hidupnya lagi...Tapi kuatkan hati nak juga buat kuih ni. Lebih buatkan hati nak buat sangat sebab Dik Lia sekarang ni sedang bercuti di rumah mertuanya di Macang, Dan kita pula terbanyang-bayang...terasa-rasa keenakan kuih ni bila pertama kali makan masa menginap di home stay di sana masa menghantar Dik Lia bertandang ke Macang.. Diusahakan juga buat intinya....pergi market pagi-pagi beli tepung pulut..sebab sangat yakin bukan susah sangat nak buat...macam buat kuih buah melaka je.....dan akhirnya memang menjadi....
Memang tak susah nak buat. Langkah pertama siapkan intinya dulu. Kita buat intinya dengan gunakan kacang hijau..direbus..tambah gula..dan sedikit tepung ..kacau hingga pekat..sejukkan. Malam -malam dah sediakan inti ni..paginya dah betul-betul sejuk..memudahkan kerja kita nanti nak dibentukkan bulat memanjang..Untuk sukatan..mmg tak de sukatan ..buatlah ikut banyak mana kita nak...agak2 je...

Macam ye je ulat bulu....jangan pandang macam itu ulat...pandang dengan fikirkan itu adalah kuih...hahaha

Bahan Utk Kulitnya;
Masih tak de sukatan...tapi bahannya sikit je dan senang nak dapat...Tepung pulut..sesudu tepung gandum...air pandan yang dicampur sikit garam..gaulkan semua hingga tidak melekat dijari.Ambil sikit leperkan dan letakkan intinya. bentuklah bulat memanjang/lonjong. Buat sampai habis. Letakkan atas plastik yang ditabur tepung untuk elakkan tepung ni melekat. dah siap rebus dalam air mendidih..bila timbul..masaklah tepung tu..sedia untuk diangkat..toskan.

kalau kita gunakan air daun pandan...semasa merebus ni harum sangat bau pandannya.. Dah siap ditoskan golekkan atas kelapa parut yang agak muda..ambil putihnya sahaja , jangan lupa gaulkan dengan sikit  garam halus.  ok dah siap.
Ada sesiapa nak cuba buat ke...tak perlu tunggu puasa baru nak buat kuih2 ni..bila-bila teringin boleh je buat kena rajin je sikit.
ok..selamat mencuba..kuih tradisional Kelantan yang dicuba buat oleh orang Perak.